Saturday, May 10, 2008

Arthritis dan sakit sendi

Arthritis atau kebiasaannya dipanggil radang sendi sebenarnya terbahagi kepada lebih 150 jenis. Dua jenis arthritis yang paling biasa ialah osteo arthritis dan rheumatoid arthritis. Pesakit yang menghidap arthritis biasanya bukan sahaja merasai kesakitan tetapi juga menghadapi masalah untuk bergerak.

Tidak seperti kepercayaan ramai, sebenarnya arthritis bukan sahaja terjadi kepada orang tua sebaliknya turut dialami oleh kanak-kanak.

Jadi apa sebenarnya yang menyebabkan artritis?
Tiada jawapan yang mudah untuk soalan ini. Faktor yang mungkin boleh menyebabkan arthritis ialah seperti berikut:
1)Keturunan.
Sebenarnya arthritis bukanlah sejenis penyakit yang diturunkan dari generasi ke generasi seperti kanser dan kencing manis. Tetapi kemungkinan faktor-faktor tertentu dalam tubuh kita yang menyebabkan kita mudah mendapat arthritis.
2)Gaya hidup
Sebenarnya diet dan pemakanan jarang menyebabkan arthritis jangka masa panjang. Ia hanya menyebabkan arthritis jangka masa pendek. Kemungkinan orang yang terlalu aktif atau bekerja berat mempunyai risiko yang lebih tinggi. Walaubagaimanapun faktor berat badan merupakan antara faktor yang menyumbang kepada keadaan ini. Maka pemakanan dan diet yang seimbang adalah penting dalam mengekalkan berat badan yang ideal (tidak terlalu gemuk dan tidak terlalu kurus).
3)Cuaca
Tiada bukti saintifik yang dapat membuktikan keadaan ini. Walaubagaimanapun terdapat ramai pesakit yang mengakui perubahan cuaca mempengaruhi keadaan kesakitan yang dialami. Sesetengah pesakit mendakwa mereka dapat tahu bahawa akan hujan sedikit masa lagi kerana mereka sudah merasakan kesakitan pada bahagian tertentu sendi mereka.

Bagaimana anda membezakan sakit otot biasa dan arthritis?
Sakit otot biasa tidak berulang dan biasanya hilang selepas beberapa hari sahaja. Sebaliknya sekiranya anda mengalami sakit sendi yang berulang-ulang yang anda tidak pasti puncanya atau tidak hilang walaupun sudah beberapa hari berlalu atau beserta demam, berpeluh malam, bengkak pada sendi, sukarbergerak atau melakukan sesuatu kerja, rasa letih dan ruam badan, anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor di tempat anda untuk pemeriksaan. Kebanyakan jenis arthrtitis dapat dikawal dengan rawatan yang sedia ada. Doktor anda akan merawat anda berdasarkan keperluan individu.

Rawatan?
Anda boleh mendapatkan rawatan dengan profesional kesihatan anda.Selain itu terdapat banyak rawatan alternatif yang ada di luar sistem perubatan moden. Namun perlu diberi penekanan di sini agar anda lebih bijak dalam menentukan rawatan yang anda inginkan. Sekiranya anda inginkan rawatan alternatif, adalah penting bagi anda untuk menyemak kelayakan, pengalaman dan kredibiliti mereka yang memberikan rawatan kepada anda. Bertanya dan mencari maklumat adalah lebih baik daripada anda menghabiskan wang dan masa anda pada sesuatu yang sebenarnya tidak langsung membantu anda.

Rawatan Acupuncture
Rawatan yang berdasarkan kepada sistem perubatan cina yang berusia lebih 2000 tahun ini mungkinboleh dijadikan alternatif. Dikatakan ia mengurangkan kesakitan dengan mengalihkan rasa sakit tersebut dan juga menggalakkan penghasilan endorphins dan encephalins yang merupakan penahan sakit natural yang ada di dalam tubuh kita. Kebiasaannya kesan ini tidak bertahan lama tetapi rawatan yangberulang-ulang boleh memberi ketahanan sehinggan 6~9 bulan.

Rawatan aromatherapy
Aromatherapy digunakan dalam rawatan kesihatan sama ada disedut baunya, untuk mandian atau disapu. Setiap essential oil yang digunakan dipercayai mengandungi kandungan kimia tertentu yang mempunyai kegunaan terapeutik dalam rawatan kesihatan. Walaubagaimanapun sesetengah kandungan kimia ini berbahaya dalam kuantiti yang besar dan tidak boleh digunakan oleh wanita yang mengandung. Sebaiknya anda bertanya terlebih dahulu kepada pakar aromaterapi tentang apa yang sesuai untuk anda , kuantiti yang diperlukan dan cara penggunaan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Sekiranya anda mengandung, menyusukan bayi atau mempunyai alahan atau sakit tertentu, anda juga perlu memaklumkan kepada mereka.

Bagaimana dengan diet dan supplements?
Di dalam pasaran terdapat pelbagai jenis supplements yang dicadangkan untuk pesakit arthritis untuk membantu mengurangkan kesakitan atau untuk mengurangkan kekerapan berlaku pengulangan.
1)Glucosamine dan Chondroitin
Glucosamine dan chondroitin dijual sebagai kombinasi atau secara bersaingan. Glucosamine dipercayai dapat membantu cartilage yang rosak. Kajian masih diteruskan untuk membuktikan sama ada glucosamine benar-benar boleh membantu. Walaubagaimanapun ramai pesakit yang mengambilnya mengakui merasakan perubahan yang baik selepas mengambil glucosamine. Walaubagaimanapun bagi mereka yang alah terhadap makanan laut, mereka dinasihatkan agar tidak mengambil glucosamine.
Penggunaan chondroitin masih lagi tidak dapat dipastikan dalam membantu pesakit menangani masalah artritis. Chondroitin biasanya hanya berkesan sekiranya diambil bersama-sama glucosamine. Kebiasaannya bagi pesakit yang mengalami masalah yang tidak begitu teruk, pengambilan glucosamine sahaja sudah mencukupi. Bagi mereka yang mengalami masalah yang lebih teruk penambahan chondroitin mungkin dapat memberikan kesan. Walaubagaimanapun diharapkan agar lebih banyak kajian dapat dilakukan bagi membuktikan kepentingan chondroitin dalam membantu masalah arthritis ini.

Penjagaan diri:
1) Senaman - senaman ringan boleh dilakukan bagi mengelakkan kesakitan berulang tetapi ketika dalam keadaan sakit, pesakit disarankan agar mendapatkan lebih rehat.
2)Dalam keadaan sakit, selain pengambilan ubat tahan sakit (NSAIDs , COX-2 inhinitors dll) pesakit sebenarnya boleh menggunakan kaedah seperti meletakkan ice pack atau hot water bag pada tempat yang sakit. Ini boleh mengurangkan penggunaan ubat tahan sakit yang berlebihan.
3)Kekalkan bentuk badan yang seimbang (Ideal Body Weight,IBW). Berat badan yang berlebihan juga sebenarnya boleh memberi tekanan kepada badan dan sendi.
4)Elakkan daripada duduk, berdiri dan berada pada posisi yang sama pada waktu yang panjang.
5)Sekiranya perlu mengangkat barang yang berat, gunakan peralatan tambahan yang boleh membantu atau minta pertolongan orang lain.
6)Gunakan kedua-dua bahagian sendi dan jangan guna sebelah bahagian sahaja.

No comments: